DALIL BACAAN YAASIN MALAM JUMAAT
Imam al-Baihaqi dalam kitab
asy-Syu'ab telah mentakhrijkan daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu
'anhu, katanya : "Rasulullah shollallahu
'alaihi wa sallam bersabda:
"Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat 'Ha Mim ad-Dukhan'
dan 'Yasin', jadilah dia pada pagi harinya dalam keadaan diampuni."
Al-Ishbihani meriwayatkan dengan
lafaz :
"Sesiapa yang membaca 'Yasin' pada malam Jumaat dia diberi
keampunan." - [Hadith ini disebutkan oleh Imam al-Munziri di dalam kitab al-Targhib
dengan katanya; "Hadith ini diriwayatkan oleh al-Ishbihani."
Inilah antara dalilnya bagi
pengamalan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat sebagaimana diamalkan sekian
lama oleh umat Islam di Alam Melayu-Nusantara, walau pun terdapat hadith-hadith
lain yang menyarankan pada malam Jumaat juga dianjurkan membaca surah
ad-Dukhan, al-Baqarah, Ali-'Imran, dan al-Kahfi dengan kelebihannya yang
tersendiri.
Pemilihan surah Yasin yang dijadikan
amalan membacanya secara beramai-ramai pada malam Jumaat adalah kerana surahnya
tidak terlalu panjang dan bersesuaian pula dibacakan pada waktu ruang antara
selesai solat Maghrib dan sebelum waktu solat Isya. Manakala, surah-surah lain
itu pula boleh dibuat secara bersendiri mengikut kemampuan masing-masing.
Sementara itu, surah al-Kahfi pula
boleh diamalkan pembacaannya secara beramai-ramai selepas selesai solat Subuh
berjemaah, iaitu sejurus selepas berwirid dan berdoa, kerana ruang itu memadai
bagi menghabiskan surah al-Kahfi sebelum menunaikan solat sunat Dhuha. Ia juga
boleh dibaca sebelum sampai waktu solat Jumaat.
Pembacaan surah al-Kahfi pada siang
hari Jumaat ini berdasarkan beberapa hadith, sebagaimana disarankan oleh
Baginda Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam, antaranya :
Al-Hakim dan al-Baihaqi telah mentakhrijkan
daripada Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anhu, daripada Nabi shollallahu
'alaihi wa sallam, sabda Baginda :
"Sesiapa yang membaca surah
al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan mendapat cahaya di sepanjang masa di antara
dua Jumaat." - [Al-Hakim berkata : "Hadith ini sahih." Ibnu
Hajar berkata : "Hadith ini adalah hadith hasan dan ia hadith yang terkuat
mengenai surah al-Kahfi."
Sa'id bin Mansur telah mentakhrijkan
hadith mauquf daripada Abu Sa'id al-Khudri dengan lafaz :
"Dia akan mendapat cahaya di
antara tempatnya dengan Kaabah."
Sa'id bin Mansur juga mentakhrijkan
daripada Khalid bin Ma'dan katanya : "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi
sebelum munculnya imam [pada hari Jumaat], dia akan mendapat kaffarah dosanya
di antaranya dengan Jumaat itu dan cahayanya sampai ke Kaabah."
Ibnu Mardaweih telah mentakhrijkan
daripada Ibnu Umar radhiyallahu 'anhuma, katanya : "Rasulullah shollallahu
'alaihi wa sallam bersabda :
"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka
terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah sehingga ke langit tinggi
meneranginya pada Hari Kiamat dan dia diberi keampunan [terhadap dosanya] di
antara dua Jumaat."
Berdasarkan pada huraian serba
ringkas ini, diharapkan tidak akan ada lagi perbalahan antara sesama umat Islam
mengenai isu ini sekali gus mempertikaikan pula pengamalan bacaan surah Yasin
pada malam Jumaat sebagaimana dilakukan oleh sebahagian besar umat Islam di
Alam Melayu-Nusantara ini secara istiqamah.
Moga bermanfaat.
Apa yang penting
ialah kita teruskan beramal demi mencapai keredhaan Allah 'Azza wa Jalla,
kerana perbalahan dalam perkara yang kecil dan khilafiyah sifatnya ini tidak
membawa sebarang manfaat, melainkan umat ini hanya tergelincir dalam perkara
sia-sia. Wallahu a'lam.
اللهم صل وسلم على البشير النذير السراج المنير سيدنا محمد حبيب رب العالمين
Oleh : Ustaz Muhammad Hafiz bin
Ahmad Tajudin al-Fandani.
No comments:
Post a Comment
شكران جزيلان
감사합니다..
Thank You..
ありがとう...