Sunday, April 17, 2011

JODOH ITU KETENTUAN ILLAHI




"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."

-Imam Nawawi-



jodoh itu ketentuan TUHAN..tapi kita akan ada terma merisik..?? salah ke merisik..?? x salah bahkan dianjurkan supaya x tersalah pilih..hmm..



UNTUK ADAM..

andai mahu mencari hawa..



1. jgn dilihat pd purdah mahupun tudung semata-mata..kerna hawa hari ini tidak lagi seperti dulu..lihatlah pd telapak tgnnya..andai mudah telapak lembut itu hinggap pd kulit lelaki lain tanpa lapik..fikirlah semasaknya utk menyuntingnya..sesungguhnya memegang bulu anjing itu lebih baik dari menyentuh kulit lelaki atau wanita yang boleh kita kahwini..



2. jgn dilihat pada baju labuh mahupun jubahnya semata-mata..lihatlah pada sebujur bibirnya..andai kata-katanya berbisa atau kuat suaranya..fikirlah semasaknya andai hati masih teringin menyuntingnya..khuatir kelak dia membawa fitnah buat si suami..menabur buruk diri si suami..



3. jgn dilihat pada cantik ayu wajahnya semata-mata..lihatlah pada sepasang indah mata miliknya..andai tidak redup menunduk pandangan..fikirlah semasaknya andai ingin terus menyunting dirinya..khuatir bila sudah bersuami matanya masih terus meliar memandang segak rupa lelaki lain yang bukan bernama suami..



UNTUK HAWA
andai mahu menerima cinta adam..



1. jgn dilihat pada kereta mewahnya semata-mata..lihatlah pd aktiviti malamnya..andai liar hidupnya tika malam menjelma..fikirlah sebaiknya andai mahu menerima..kerna maksiat itu lebih mudah tatkala kelam malam sudah tiba..khuatir juga subuhnya terus leka dibuai mimpi nan indah..



2. jgn dilihat pada pakaian berjenama semata-mata..lihatlah pada bahagian kakinya..andai mudah lututnya ditayangkan tatkala lincah dipadang bola..fikirlah sebaiknya andai masih mahu menerima..kerna aurat suami itu hanya selayaknya dilihat oleh si isteri..



3. jgn dilihat pada tampan paras semata-mata..lihatlah pada mulutnya tatkala berbicara..andai dia mudah menghambur carutan dan sumpah seranah..fikirlah sebaiknya andai masih tegar memilihnya..khuatir pabila bersama kelak..kesalahan kecil anda akan menerima hamburan cacian yang menyeksakan..



lelaki dan wanita hari ini tidak lagi seperti mereka yang dahulu..sebelum ini..wanita berhijab itu sesungguhnya mmg mulia zahir batinnya..tetapi hari ini..mereka yang bertudung barangkali hanya utk menyembunyikan kelemahan diri..begitulah juga sang lelaki..kadang-kala berkopiah..dari mata nampak sungguh alim..tetapi dlm hatinya..??siapa yang tahu..


Janganlah meninggalkan pasangan begitu saja....BIMBINGLAH pasangan kita kerana CINTA itu sendiri adalah perhubungan titik perhatian dan kedamaian dalam HATI..



sekadar renungan bersama..

Friday, March 18, 2011

YANG MANA 1??


DON'T JUDGE THE BOOK BY ITS COVER??" atau "MATI PUN KUBUR LAIN2???"...

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.
Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.
Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”
Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.
Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).
Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.
Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saturday, October 23, 2010

KALAU TAK SUKA.. PULANGKAN..


Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.

“Fail saya kat depan tu mana?”

“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————————-

“Saya nak ke out station minggu depan.”

“Lama?” Soal Laila.

“Dalam seminggu.”

“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”

“Budak-budak? “

“Ikut jugalah.”

“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”

“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”

“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”

“Manalah saya ada masa..”

“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.

“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.

Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..

“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

———————————————————————————-

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

“Awak masak apa?”

“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.

“Keluar!”

“Mama dah masak Pa!”

“Awak saja makan!”

“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”

“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”

“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

“Laila..” serunya

“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni mak,”

“Lama-lama kau biasalah.”

Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

———————————————————————————-

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”

“Tak ada lah?”

“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.

“Awak tak sihat ke?”

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan

“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

———————————————————————————–

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.

“Abang!”

“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.

“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”

Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.

“Laila”

—————————————————————————————————-

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

“Ikut boleh?”

“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “

“Papa pesanlah..”

“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.

“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”

Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”

“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”

“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk

“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..

Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.

Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan…….

SUPPORTERS